Persoalan yang timbul di kalangan masyarakat, siapakah yang bertanggungjawab mencemarkan agama Islam sebagai agama kedamaian dan mengambil hak Allah swt dengan menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam sehingga berlaku kepada pembunuhan,kerosakan dan penganiayaan tersebut. Di sini bukan niat untuk memburuk-burukkan ulama tetapi ingin mengingatkan pesan suci Nabi Muhammad saw. Baginda saw telah memberikan gambaran yang paling tepat mengenai segelintir ulama Islam di zaman ini yang dianggap sebagai wujud paling buruk di bawah kolong langit dan seperti kera serta khinzir. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh Rasulullah saw?
“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727).
“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).
Berdasarkan hadis di atas, terdapat golongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Salah satu fatwa yang menyempurnakan nubuwatan Rasulullah saw ialah berkenaan fatwa mengkafirkan sekumpulan Islam yang lain. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa tersebut maka para pengikutnya mempercayai dan mengikut tanpa menyelidiki kesahihannya. Manakala ulama tersebut pula mengatakan mereka mengeluarkan fatwa tersebut kerana merujuk atau mengikut fatwa yang disepakati oleh ulama antarabangsa atau ulama terdahulu. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami atau menyelidiki sendiri tentang perkara tersebut.
Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu yang bermaksud golongan ini bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak tahu malu untuk melakukan dusta dan fitnah. Golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw seperti “kera” dan “khinzir” kerana mereka mengikut sahaja memfatwakan dan menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat dan bukan Islam padahal golongan yang dikatakan sesat itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras tersebut. Ini adalah kerana Rasululah saw mengetahui fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya keganasan dan kekerasan dengan menyerang, membakar, merosak, mencedera dan membunuh. Lebih biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt (Yang Maha Pengasih dan Penyayang) semasa melakukan perbuatan keji ini. Padahal Allah swt tidak suka kepada kerosakan: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (28:77).
Allah swt amat mengetahui keburukan isu mengkafirkan dan memurtadkan yang akan terjadi di dalam umat Islam maka Dia memberi petunjuk yang terbaik untuk menyelamatkan umat Islam dari perangkap tersebut. Allah swt berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)
Apa yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan ayat Al Quran tersebut, hanya perkataan salam menyebabkan Allah swt telah memerintahkan jihad itu harus diberhentikan. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi jika sesuatu perkumpulan tersebut mengakui diri mereka sebagai Islam dan terpampang Kalimah Syahadah di masjid mereka. Berdoalah kepada Allah swt Yang Maha Hidup dan Maha Pemberi Petunjuk untuk memberi pedoman agar kita tidak termasuk dalam golongan yang menganiaya.
2 Comments:
Nabi Muhammad saw telah bersabda" umatku akan berpecah kepada 73 golongan da 1 sahaja yg mengikuti ku, iaitu ahlu sunnah wal jamaah"
shimashita,
mudah-mudahan kita dlm golongan yg satu itu...
Post a Comment