Friday, August 29, 2008

Laporan Belanjawan 2009

Teks ucapan Bajet 2009

UCAPAN BAJET 2009 OLEH YAB DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN DI DEWAN RAKYAT PADA 29 OGOS (JUMAAT) 2008

"KERAJAAN PRIHATIN"

Tuan Yang Dipertua,

SAYA mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-Undang bertajuk "Suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2009 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

ALHAMDULILLAH, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dari-Nya jua, saya dapat membentangkan Bajet 2009 di dewan yang mulia ini.

Sejak 51 tahun yang lalu, kerajaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyat, berlandaskan kepada prinsip perkongsian kuasa, mengutamakan kestabilan politik, berpegang kepada kesederhanaan dan mementingkan kemakmuran ekonomi.

Sebenarnya, negara kita ADALAH antara negara yang paling stabil dan makmur di rantau ini. Kejayaan ini telah dicapai sungguhpun negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya pada tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah kita atasi. Hari ini kita berdepan dengan persekitaran harga global yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan. kekal bersatu padu, kita akan sekali lagi berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi sekarang.

Semangat setia kawan yang ikhlas teruji ketika kita menghadapi kesukaran dan kesusahan. Kawan di masa senang memang ramai, tetapi kawan sejati yang setia dan sanggup bersama di masa susah tidak mudah dicari. Semangat kesetiaan kepada negara dan bangsa adalah amat penting untuk membina sebuah negara yang aman dan makmur. Dalam negara berdemokrasi memang wujud perbezaan pendapat sungguhpun begitu, kita harus bersatu teguh apabila berdepan isu-isu bersabit kepentingan negara.

Persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan global kini menghadapi cabaran dan perkembangan tidak menentu. Seluruh dunia terpaksa menanggung beban akibat dari harga minyak yang meningkat tinggi secara mendadak, di samping meningkatnya harga bahan makanan dan komoditi lain. Ketidakstabilan sektor kewangan di Amerika Syarikat menggugat pertumbuhan ekonomi di negara tersebut serta Eropah. Walaupun aktiviti ekonomi di rantau Asia, terutama India dan China, kekal menggalakkan, namun sokongan permintaan domestik di negara berkenaan mungkin terjejas sedikit akibat tekanan inflasi. Senario ekonomi ini pastinya mempengaruhi perkembangan ekonomi global dan ekonomi negara kita tidak terkecuali daripada pengaruhnya.

Kita bersyukur kerana ekonomi negara terus kukuh dan berdaya tahan. Asas ekonomi dan pasaran eksport yang pelbagai, serta rizab antarabangsa yang tinggi, telah meletakkan ekonomi negara lebih fleksibel untuk menghadapi persekitaran luar negara yang mencabar.

Ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang mantap. Asas ekonomi negara yang kekal kukuh serta peningkatan permintaan dalam negeri membolehkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama mencatat pertumbuhan 7.1 peratus, dan 6.3 peratus bagi suku kedua, lalu meletakkan KDNK bagi setengah tahun pertama 2008 pada tahap 6.7 peratus. Berasaskan daya tahan ekonomi yang kukuh, pengalaman dan keupayaan negara, serta sokongan padu rakyat, kita berjaya mengatasi beberapa krisis ekonomi dan kewangan terdahulu. Meskipun negara tidak terkecuali daripada kesan negatif disebabkan harga minyak yang meningkat, kerajaan yakin ekonomi negara akan terus stabil, dengan pertumbuhan KDNK dianggarkan 5.7 peratus pada tahun ini.

Tuan Yang Dipertua,

Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah kita bina selama ini terus terjamin. Untuk itu, adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya kita berupaya menangani kesan persekitaran luar yang semakin sukar.

Bertemakan kerajaan prihatin dan selaras dengan lima teras Misi Nasional, Bajet 2009 akan menumpukan kepada tiga strategi khusus, iaitu:

  • PERTAMA: Menjamin kesejahteraan rakyat;

  • KEDUA: Membangunkan modal insan berkualiti; dan

  • KETIGA: memperkukuhkan daya tahan negara


Strategi Pertama: Menjamin Kesejahteraan Rakyat

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan akan terus memastikan rakyat sama-sama menikmati kemakmuran, hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara. Untuk ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan Keselamatan Sosial

Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan miskin. Kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, berikutan daripada kenaikan kos sara hidup, amat difahami oleh kerajaan. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 sebulan untuk Sabah. Ini bermakna, bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000 isi rumah. Ini termasuk bilangan warga emas yang layak meningkat daripada 14,000 kepada 40,000 penerima. Langkah ini membabitkan perbelanjaan tambahan sejumlah RM500 juta.

Kerajaan menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada kemajuan yang kita kecapi hari ini. Bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan, mulai 1 Januari 2009. Peningkatan ini membabitkan seramai 75,000 pesara wajib, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan RM140 juta pada 2009.

Kerajaan telah menyediakan tabung bantuan bagi mereka yang dilanda bencana, seperti banjir dan kebakaran. Untuk memperluaskan skop bantuan, kerajaan akan menubuhkan satu tabung bantuan khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut, seperti akibat kemalangan.

Kerajaan prihatin terhadap kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dalam suasana kekeluargaan. Sebagai satu inisiatif, kerajaan, dengan kerjasama sektor korporat, telah mewujudkan Program Rumah Tunas Harapan, di mana sektor korporat menyediakan rumah, manakala kerajaan membayar kos mengurus. Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan akan menaikkan jumlah elaun ibu pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 2008. Untuk memperluaskan lagi program ini, kerajaan menyeru kerjasama sektor swasta untuk membina lebih banyak Rumah Tunas Harapan.

Membasmi Kemiskinan

Tuan Yang Dipertua,

Pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan 43 peratus daripada 67,300 isi rumah kepada 38,400 isi rumah pada tempoh yang sama. Kerajaan yakin matlamat menghapuskan kemiskinan tegar akan dapat dicapai pada 2010.

Kerajaan akan terus melaksanakan program meningkatkan pendapatan serta menyediakan latihan kemahiran dan kerjaya di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Selain itu, program lonjakan mega luar bandar di Pulau Banggi, Sabah dan Tanjung Gahai, di Kuala Lipis, Pahang sedang dilaksanakan. Untuk tujuan ini, peruntukan RM220 juta disediakan, yang akan memanfaatkan 13,300 isi rumah.

Bagi perumahan pula, dalam tempoh 2006 hingga 2008, sebanyak 3,500 rumah baru telah dibina dan dua ribu rumah dibaik pulih di bawah program bantuan rumah untuk membantu keluarga miskin tegar memiliki rumah kediaman yang selesa. Pada 2009, peruntukan RM50 juta disediakan untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 buah rumah. Keutamaan diberi kepada golongan tua, uzur, cacat dan ibu atau bapa tunggal yang mempunyai ramai tanggungan serta mangsa bencana alam.

Kemiskinan tegar di Sabah dan Sarawak juga telah dikurangkan dengan ketara. Di Sabah, jumlah isi rumah miskin tegar dikurangkan daripada 32,400 pada 2004 kepada 18,100 pada 2007. Di Sarawak, jumlah itu berkurangan daripada 5,200 kepada 3,600. Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di kedua negeri tersebut, terutamanya mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, 580 juta ringgit disediakan bagi Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak.

Sebagai satu langkah kerajaan meringankan lagi beban kewangan golongan berpendapatan rendah, isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Kerajaan akan menanggung kos bil berkenaan yang berjumlah RM170 juta. Seramai 1.1 juta isi rumah akan mendapat manfaat daripada langkah ini.

Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat

Tuan Yang Dipertua,


Kerajaan sedar bahawa peningkatan kadar inflasi telah turut memberi kesan kepada kuasa beli golongan berpendapatan sederhana. Untuk membantu mereka, kerajaan mencadangkan rebat cukai RM350 seorang yang diberikan pada masa ini, dinaikkan kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000 dan ke bawah. Berikutan langkah ini, seramai 100,000 pembayar cukai dalam golongan pendapatan sederhana tidak lagi dikenakan cukai.

Di samping itu, untuk mengurangkan beban cukai, terutamanya individu yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan, kerajaan mencadangkan pendapatan faedah ke atas simpanan bagi individu dikecualikan cukai.

Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan pengguna, kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barangan pengguna dikurangkan daripada di antara 10 peratus dan 60 peratus kepada di antara lima peratus dan 30 peratus. Barangan terbabit termasuk pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik. Di samping itu, kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barang makanan di antara dua peratus dan 20 peratus dikecualikan sepenuhnya. Antara barang makanan terbabit adalah mihun, biskut, jus buah-buahan dan jagung manis dalam tin.

Pada masa ini, kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat dikenakan cukai jalan yang lebih tinggi berbanding kenderaan sama berenjin petrol. Kerajaan akan mengurangkan kadar cukai jalan kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat supaya sama dengan kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, berkuat kuasa 1 September 2008.

Menjamin Kebajikan Pekerja

Tuan Yang Dipertua,

Sektor swasta perlu mengutamakan kebajikan pekerja. Untuk menyokong usaha sedemikian, kerajaan mencadangkan elaun perjalanan antara rumah dan tempat kerja yang diberikan oleh majikan kepada pekerja diberi potongan sepenuhnya, manakala pekerja yang menerima elaun perjalanan diberi pengecualian cukai sehingga RM2,400 setahun.

Di samping itu, kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberikan ke atas manfaat yang dinikmati pekerja, seperti berikut:
  • Pertama: Bantuan kadar faedah bagi pinjaman berjumlah sehingga RM300,000 untuk perumahan, kenderaan bermotor dan pendidikan;
  • Kedua: Telefon mudah alih serta bil telekomunikasi dan langganan internet yang dibayar oleh majikan;
  • Ketiga: Nilai diskaun sehingga RM1,000 setahun ke atas barangan jualan syarikat yang ditawarkan kepada pekerjanya;
  • Keempat: Nilai diskaun ke atas perkhidmatan yang diniagakan oleh syarikat yang ditawarkan kepada pekerja, seperti sekolah swasta yang memberi pendidikan percuma kepada anak pekerjanya; dan
  • Kelima: Elaun penjagaan anak sehingga RM2,400 setahun bagi anak-anak pekerja.


Pada masa ini, pengecualian cukai ke atas manfaat perubatan yang disediakan oleh majikan tidak merangkumi perbelanjaan materniti. Kerajaan mencadang memperluaskan pengecualian cukai kepada perbelanjaan materniti. Di samping itu, memandangkan terdapat rakyat yang menggunakan perubatan tradisional, seperti akupunktur dan 'ayurvedic', kerajaan juga mencadangkan pengecualian cukai diberi ke atas manfaat perubatan tradisional yang diterima oleh pekerja.

Untuk membantu penjawat awam, kerajaan akan meningkatkan tahap kelayakan untuk mendapat subsidi yuran taska bulanan RM180. Tahap kelayakan pendapatan isi rumah bulanan dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

Pada masa ini, kakitangan kerajaan diberi kemudahan tambang pergi balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal, iaitu di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Bagi mengeratkan silaturahim keluarga, kemudahan ini akan diberikan setiap tahun, mulai 1 Januari 2009.

Menambah Baik Pengangkutan Awam

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan akan terus menggalakkan lebih ramai warga menggunakan pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup. Saya telah turun padang baru-baru ini untuk melihat sendiri keadaan pengangkutan awam di ibu kota kita. Saya percaya, pengangkutan awam yang lebih efisien dan bersepadu amat penting bagi menyediakan kemudahan perjalanan yang lancar serta meningkatkan kekerapan perkhidmatan.

RapidKL dan RapidPenang telah ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Lembah Klang dan di Pulau Pinang. Kini, RapidKL menyediakan perkhidmatan bas kepada 166 laluan merangkumi lebih 980 kawasan kediaman. Sejumlah 14 peratus adalah laluan sosial yang tidak menguntungkan dan tidak diliputi oleh syarikat pengangkutan awam yang lain. Laluan sosial ini masih beroperasi untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat, terutama daripada kalangan berpendapatan rendah, mendapat manfaat daripada usaha penambahbaikan pengangkutan awam. Pada puratanya, seramai 400,000 penumpang sehari menggunakan perkhidmatan bas dan 350,000 menggunakan perkhidmatan rel RapidKL. Keseluruhannya, 44 peratus dari perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang disediakan oleh RapidKL.

RapidPenang pula menyediakan perkhidmatan bas kepada 33 laluan di 106 kawasan perumahan dengan jumlah 46,000 penumpang sehari. RapidPenang kini menyediakan 60 peratus daripada jumlah perkhidmatan bas di Pulau Pinang. Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan, 200 bas akan ditambah, menjadikan jumlah 350 bas. Dengan ini, perkhidmatan bas RapidPenang dijangka dapat diperluaskan lagi dengan 14 jaringan laluan baru dan jumlah penumpang meningkat kepada 120,000 penumpang sehari pada penghujung 2009.

Untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, RM35 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014. Ini termasuk projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan rel baru, menambah bilangan bas serta menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan.

Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer (km), iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Apabila siap pada 2011, kedua-dua projek ini akan memanfaatkan 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong, berbanding 1.9 juta orang pada masa ini.

Pada masa sama, perolehan 35 set tren bagi aliran kelana jaya telah dilaksanakan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2010, dengan kos RM1.3 bilion.

Dengan langkah-langkah ini, kapasiti aliran Kelana Jaya akan meningkat lebih dua kali ganda, daripada 160,000 penumpang sehari pada masa ini kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa ini.

Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang, satu laluan LRT baru sepanjang 42 km akan dibina dari Kota Damansara ke Cheras. Laluan baru ini, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, apabila siap pada 2014, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang.

Kerajaan telah mengambil alih aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir 2007. Beberapa langkah meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan telah dilaksanakan. Berikutan langkah-langkah ini, semua 12 tren yang ada telah berjaya beroperasi semula sepenuhnya. Sejak pengambilalihan, jumlah penumpang telah meningkat lebih 10 peratus daripada purata 51,000 penumpang sehari kepada lebih 57,000 penumpang sehari pada masa ini. Pengambilalihan ini akan menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang lebih berintegrasi.

Perkhidmatan rel Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad akan dipertingkatkan. Langkah sedang dilaksanakan untuk membaik pulih 20 set 'Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang 2011. Dengan ini, kapasiti KTM Komuter dijangka meningkat daripada 350,000 penumpang sehari pada masa ini kepada 500,000 sehari. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2010.

Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013.

Kerajaan juga sedang membina terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik Selatan bertujuan menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan selatan Semenanjung. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, di samping mempunyai 'connectivity' dengan rel aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta juga teksi dan bas bandar di Lembah Klang. Terminal ini dijangka beroperasi pada 2011.

Bagi menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan utara Semenanjung, satu terminal pengangkutan bersepadu yang baru akan dibina. Terminal ini akan dapat mengurangkan lagi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Pengusaha-pengusaha pengangkutan awam berperanan penting memastikan jaringan perkhidmatan yang lebih luas serta efisien, selamat dan bermutu tinggi, di kawasan bandar dan luar bandar. Untuk membantu mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam, kerajaan telah pun meningkatkan kuota subsidi diesel bagi pengangkutan awam. Kerajaan akan turut mengambil langkah-langkah berikut:
  • Pertama: menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel; dan
  • Kedua: Mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008. Kerajaan akan memberi pampasan kepada operator tol di atas kehilangan hasil berikutan pengurangan ini yang dianggarkan RM45 juta setahun.


Di samping itu, pengusaha semua bas diberi pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal dipercepatkan. Selain itu, cukai jalan dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

Untuk memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2009.

Intipati Bajet 2009


KUALA LUMPUR: Berikut adalah intipati Bajet 2009, yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat, hari ini.

* Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

* Bertemakan Kerajaan Prohatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.


* Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.



JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL



* Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

* Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Jan, 2009.

* Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

* Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 Sept, 2008.



MEMBASMI KEMISKINAN



* Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

* Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 rumah.

* Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutama untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan RM420 juta untuk Sarawak.

* Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Okt, 2008 sehingga akhir 2009.



MENINGKATKAN PENDAPATAN BOLEH GUNA RAKYAT



* Kerajaan cadangkan rebat cukai RM350 seorang yang diberikan pada masa ini, dinaikkan kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000 dan ke bawah.

* Kerajaan cadangkan pendapatan faedah ke atas simpanan bagi individu dikecualikan cukai.

* bagi menangani kesan kenaikan harga barangan pengguna, kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barangan pengguna dikurangkan daripada di antara 10 peratus dan 60 peratus kepada di antara lima peratus dan 30 peratus.

* Kerajaan akan mengurangkan kadar cukai jalan kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat supaya sama dengan kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol berkuat kuasa 1 Sept, 2008.



MENJAMIN KEBAJIKAN PEKERJA



* Kerajaan akan memberi pengecualian cukai sepenuhnya kepada eluan perjalanan pekerja antara rumah dan tempat kerja yang diberikan oleh majikan manakala pekerja yang menerima elaun perjalanan diberi pengeculian cukai sehingga RM2,400 setahun.

* Kerajaan cadang memberi pengecualian cukai kepada majikan keatas manfaat yang dinikmati pekerja seperti bantuan kadar faedah bagi pinjaman berjumlah sehingga RM300,000 perumahan, kenderaan bermotor dan pendidikan, telefon mudah alih serta bil telekomunikasi dan langganan Internet yang dibayar oleh majikan, nilai diskaun sehingga RM1,000 setahun ke atas barangan jualan syarikat yang ditawarkan kepada pekerja, nilai diskaun ke atas perkhidmatan yang diniagakan oleh syarikat yang ditawarkan kepada pekerja dan elaun penjagaan anak sehingga RM2,400 setahun bagi anak-anak pekerja.

* Pengecualian cukai keatas manfaat perubatan yang disediakan oleh majikan tidak merangkumi perbelanjaan materniti. Kerajaan mancadangkan memperluaskan pengecualian cukai kepada perbelanjaan materniti.

* Kakitangan kerajaan yang diberi kemudahan tambang pergi balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu diantara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, mulai 1 Januari 2009 boleh berbuat demikian sekali setahun.



MENAMBAH BAIK PENGANGKUTAN AWAM



* Jumlah bas RapidPenang akan ditambah dengan 200 bas lagi dan dengan ini perkhidmatan bas tersebut dijangka dapat diperluaskan lagi dengan 14 jaringan laluan baru.

* Untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, sebanyak RM35 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014.

* Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Kelang, satu laluan LRT baru sepanjang 42km akan dibina dari Kota Damansara ke Cheras.

* Perkhidmatan rel komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd akan dipertingkatkan.

* Kerajaan juga sedang membina terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik Selatan bertujuan menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan selatan Semenanjung.

* Bagi menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan utara Semenanjung, satu terminal pengangkutan bersepadu yang baru akan dibina.

* Menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengangkutan Awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd untuk membiayai perolehan aset bas dan rel

* Mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008.

* Pengusaha semua bas diberi pengeculaian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara.

* Selain itu, cukai jalan dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa dan limosin.

* Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem pengangkutan pengangkutan awam.

3 Comments:

ita.itu said...

kalo budget nih bg mall tiap2 bulan ada sale kan best.hehe

bozzobattousai said...

ye la tuh ita... lagi cepat la habis duit aku nih...

~mind.body.souL~ said...

hye~
i tersinggah plak bl0g u scara x sengaja..
ngeh~ngeh~
c0z kebetulan ada assi sal budget-membudget negara ne..
:)
btw, i link u kat blog i..erk~
:)
eternalblissfully.blogspot.com