Ada ruang luas kerjasama Muslim-bukan Islam
Soalan: Senario politik kini menuntut suatu permuafakatan dan kerjasama antara golongan Islam bagi mewujudkan kestabilan politik, bertujuan membentuk kerajaan yang kuat dan mendapat sokongan majoriti. Dari sudut Islam, boleh atau tidak umat Islam bekerjasama dengan yang bukan Islam untuk memerintah. dapat memberikan dalil-dalil sahih untuk menjadi pegangan. - ABDULLAH ABDUL RAHMAN, Kuala Lumpur
Jawapan: Perlu difahami terlebih dahulu bahawa Islam muncul dan berkembang dalam masyarakat pelbagai agama, sama ada pada zaman Makkah, mahu pun selepas Hijrah, iaitu zaman Madinah.
Allah SWT memilih dan mentakdirkan sedemikian kerana agama Allah akan terus berkembang dan subur di mana-mana pelosok dunia, termasuk di dalam negara pelbagai kaum dan agama.
Hal sedemikian, memberi kefahaman yang jelas, bahawa kerjasama dan saling bantu membantu untuk pencapaian kehidupan harmoni dalam soal kehidupan di sesebuah negara, perlu diberi perhatian dan dihormati.
Harus dicari asas-asas untuk bekerjasama dan saling bantu membantu.
Asas utama pada kefahaman ini berdasarkan kepada ayat Allah, menerusi firman-Nya (mafhumnya): "...Dan hendaklah kamu tolong menolong dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan terhadap Allah, dan jangan kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan pencerobohan..." (Surah al-Maaidah, ayat 2)
Firman Allah (mafhumnya): "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari tanah air kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Ayat-ayat tersebut memberi ruang seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama dan bertolong-tolongan antara umat Islam sesama mereka khususnya dan juga dengan yang bukan Islam, dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya, serta ulama-ulama salaf.
Bertolong-tolongan dan bekerjasama dalam bidang politik untuk tujuan memerintah atau mendapatkan kuasa, antara golongan Islam dan bukan Islam, disebut dalam Islam sebagai tahaluf siasi.
Tahaluf adalah istilah politik Islam bermaksud berpakat atau bermuafakat untuk mencapai dan menjayakan kepentingan bersama dalam membina negara atau mendapatkan kuasa.
Istilah tahaluf atau hilf, wujud dalam Islam dan dalam beberapa hadis.
Sebelum Islam lahir di Makkah, masyarakat jahiliyah telah pun membuat pakatan dan kerjasama di antara mereka yang dikenali dengan Hilful Fudhul.
Nabi Muhammad s.a.w., ketika zaman kerasulannya menyaksikan permuafakatan tersebut.
Setelah Islam lahir dan berkembang, Rasulullah s.a.w. mengingati semula permuafakatan itu dan menghargainya dalam suatu hadis (mafhumnya); "Talhah bin Abdullah bin 'Auf berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; Saya telah menyaksikan berlakunya suatu kerjasama dalam bentuk permuafakatan di kediaman Abdullah bin Jad'aan. Permuafakatan tersebut itu baik bagiku dan ia lebih bernilai daripada harta benda dunia. Sekiranya saya diminta berbuat demikian dalam era Islam ini, pasti saya menyetujuinya." (Hadis Riwayat Ibnu Ishak)
Dalam sejarah Hijratul Rasul s.a.w., baginda telah meminta pertolongan atau bantuan dari seorang yang tidak Islam yang bernama Abdullah bin Uraiqit, sebagai pemandu dan penunjuk jalan kepadanya.
Mengapa Rasulullah s.a.w. memilih orang kafir untuk membantu? Apakah tidak ada orang Islam atau malaikat atau wahyu yang memandunya?
Walaupun semua itu boleh, tetapi peristiwa ini mengandungi mesej yang amat jelas, iaitu dibolehkan bekerjasama, terutamanya jika keperluan itu jelas wujud.
Maka hal kerjasama seperti itu dibolehkan.
Setiba di Madinah, Rasulullah s.a.w. menyedari, malah diperintah Allah SWT untuk mengadakan permuafakatan dengan yang bukan Islam dari golongan kuffar Madinah, sehingga termeterai suatu perjanjian (piagam) yang dikenali sebagai Saheefah Madinah yang terkenal sehingga ke hari ini.
Saheefah tersebut, diperuntukkan jelas antara lainnya, orang Yahudi menanggung perbelanjaan hidup sendiri, demikian juga orang-orang Islam. Di antara mereka terdapat tanggungjawab untuk saling bantu membantu menghadapi musuh bersama.
Mereka hendaklah saling nasihat menasihati dalam berbuat baik terhadap satu sama lain, tanpa melakukan kesalahan.
Disebutkan dalam Saheefah bahawa; "Tidak salah mana-mana orang yang tertakluk dalam piagam ini, bahawa mereka wajib tolong menolong, bantu membantu, khususnya bagi orang-orang yang teraniaya."
Selain itu Rasulullah s.a.w. pernah membuat perjanjian tolong menolong dengan Bani Khuza'ah dan lain-lain.
Dengan alasan-alasan yang dipaparkan ini, sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah, jelas menunjukkan keharusan bermuafakat dengan orang-orang yang bukan Islam.
Namun demikian, ia bukan merupakan keharusan total atau dibolehkan secara mutlak. Keharusan ini, mestilah diikat dengan beberapa syarat, sesuai dengan situasi muafakat tersebut.
Apa yang penting, ia mestilah memastikan Islam berada dalam keadaan selamat, selesa dan terus berada dalam keadaan yang sejajar dengan ruh firman Allah dalam al-Quran (mafhumnya): "Kamu adalah umat yang terbaik, dilahirkan bagi manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah perkara yang mungkar dan beriman kepada Allah..." (Surah ali-Imran ayat 110).
* petikan aku ambil dari artikel yg aku baca dari internet. silalah baca dan buat kesimpulan anda sendiri. klu buleh cuba tanya2kan pada org yg lebih arif tentang selok-belok perniagaan dan perhubungan. wassallam.
Thursday, June 12, 2008
Kerjsama Dengan Kafir ................
Posted by bozzobattousai at Thursday, June 12, 2008
Labels: tazkirah
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
2 Comments:
Artikel yang menarik bro. Mana kau dapat? Kalau ada link2 ke site yang menarik bagitau la aku.
aku pun dpt org antar dlm email. tp memang best benda yg brader ni antar. nanti aku forwardkan link dia
Post a Comment