Tuesday, June 17, 2008

Kenaikan harga minyak bakal tingkatkan jenayah

Kenaikan harga minyak bakal tingkatkan jenayah
BATU PAHAT, 17 Jun (Hrkh)
- Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Mohamad, melahirkan kebimbangan kadar jenayah di negara ini akan terus meningkat kesan daripada kenaikan harga minyak yang terlalu tinggi baru-baru ini.
"Selain itu kadar pengangguran juga dibimbangi akan turut meningkat apabila lebih banyak lagi syarikat terpaksa gulung tikar, terutama syarikat milik bumiputra yang tidak mampu bersaing dengan syarikat milik kaum lain. "Apabila kadar jenayah meningkat, pasukan keselamatan juga akan menghadapi masalah bagi membendung gejala ini yang sekaligus akan menimbulkan rasa tidak tenteram rakyat," katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Johor, dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, sebagai bantahan di atas tindakan kerajaan yang dianggap menzalimi rakyat ini, PAS Johor telah mengarahkan ahli-ahli PAS di seluruh negeri ini mengadakan demonstrasi aman di tempat masing-masing.
"Kemuncak daripada siri-siri demonstrasi ini nanti akan diadakan pada 4 Julai depan dengan penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman.
"Demonstrasi aman ini nanti akan turut disertai semua parti politik dalam Pakatan Rakyat , yang terdiri dari PAS, DAP dan KeADILan selain Badan Bukan Kerajaan (NGO), serta seluruh masyarakat berbilang kaum di negeri ini,"jelasnya.
Tambahnya, selain itu, PAS Johor juga akan melancarkan kempen memungut tanda tangan rakyat negeri ini sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak ini.
"Kita mengharapkan seluruh rakyat berbilang kaum di negeri ini akan bersama-sama dengan kita dalam kempen ini,"katanya.
Sementara itu, AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, pada sidang media yang sama, turut memberitahu, PAS Johor akan mengadakan ekspedisi ke Pulau Pisang, pada 21 Jun ini.

"Kita akan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh kawasan Rumah Api milik Singapura bagi menandakan bahawa pulau ini adalah hak milik Malaysia.
"Kita mahu melihat sama ada pulau ini masih milik kita lagi atau tidak, sebaliknya jika tindakan kita ini nanti dihalang pihak-pihak tertentu, maka ini menunjukkan seolah-olah pulau ini bukan milik kita lagi.
"Bahkan tindakan ini juga akan mengulangi insiden pada 1993 apabila Pemuda PAS Pusat dihalang mengibar Jalur Gemilang di Pulau Batu Putih, apa yang berlaku selepas 15 tahun kemudian, peristiwa yang sungguh menyayat hati seluruh rakyat negara ini telah menjadi kenyataan apabila pulau ini terlepas kepada Singapura," tegas beliau lagi. - mks._

0 Comments: